ISLAMIC TOURISM CENTRE ANJUR MAJLIS APRESIASI MENYANTUNI MEDIA, RAKAN STRATEGIK DAN PENAJA BULAN PELANCONGAN ISLAM 2023 (BPI 2023)

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2023: Islamic Tourism Centre (ITC) menganjurkan Majlis Penghargaan Minum Petang eksklusif bagi menyantuni rakan-rakan media serta rakan-rakan strategik dan barisan penaja yang turut menjayakan Bulan Pelancongan Islam 2023 (BPI 2023) sepanjang bulan Ogos dan September.

Acara istimewa ini diadakan bagi menghargai dedikasi dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menyebarkan keunikan dan keistimewaan pelancongan mesra Muslim, memupuk pemahaman kepelbagaian budaya, dan mempamerkan keindahan pelancongan Islam semasa BPI 2023.

BPI 2023 merupakan platform yang sangat berkesan untuk mempamerkan budaya, warisan, dan nilai toleransi yang mencorakkan imej negara kita. BPI 2023 bukanlah sekadar satu keraian; malah mampu menonjolkan kepelbagaian masyarakat yang menjadikan Malaysia sangat unik.

Melalui BPI 2023, Malaysia bukan hanya membuka pintu kepada para pelancong untuk merasai layanan mesra, malah turut memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka keindahan tradisi, tapak bersejarah, dan kepelbagaian budaya tempatan yang ada di negara kita. Ia turut meraikan perpaduan dengan menghubungkan masyarakat dari pelbagai latar belakang berbeza melalui satu bahasa yang universal iaitu hospitaliti.

ITC melihat peluang yang sangat besar ke atas  bidang perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), para usahawan serta golongan generasi muda kita. Potensi dalam Pelancongan Islam, diperkukuhkan dengan produk dan perkhidmatan mesra Muslim yang inovatif juga, adalah luas.

Malaysia perlu mengeluarkan lebih lagi tawaran Pelancongan mesra-Muslim dan Hospitaliti (MFTH)  untuk merealisasikan aspirasi negara ini untuk menjadi Hab Umrah terkemuka. Perjumpaan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman bersama Lembaga Pelancongan Saudi baru-baru ini untuk membincangkan hal ini merupakan perkembangan yang menggalakkan untuk mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi.

“Ini menjadi jemputan terbuka kepada pengusaha perniagaan untuk melibatkan diri dalam pasaran dan perkhidmatan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) dengan menawarkan pengalaman unik bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelancong Muslim, yang juga boleh dimanfaatkan oleh semua pelancong, tanpa mengira agama dan bangsa. Dengan gabungan yang seimbang antara kreativiti dan sensitiviti budaya, usahawan boleh meraih keuntungan sekaligus memupuk pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf industri pelancongan negara.”

“Kementerian mengucapkan terima kasih kepada setiap anggota media dan rakan-rakan strategik yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan BPI 2023. Usaha yang diberikan bukan sahaja meningkatkan profil BPI 2023 ke tahap yang baik malah turut meningkatkan pemahaman dan penghargaan di kalangan komuniti global secara keseluruhannya. Semoga perkongsian serta usahasama yg dijalankan akan terus memberikan kesan serta inspirasi dalam membentuk dunia yang menghargai  indahnya kepelbagaian.”

Turut berucap di acara tersebut,  Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata, “BPI 2023 memberikan peluang kepada pemain industri untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka yang menjadi tarikan pasaran pelancong Muslim. Pelancong tempatan dan antarabangsa berpeluang untuk merasai kepelbagaian budaya Malaysia dan gaya hidup Islam dalam persekitaran yang selamat dan mesra”.

Nizran menambah, “BPI 2023 telah berjaya mencapai jualan sebanyak RM2 juta yang diperolehi melalui promosi istimewa yang ditawarkan oleh penginapan, pakej perjalanan, pusat spa dan kecergasan, makanan dan minuman, tawaran beli-belah, serta acara, seminar, dan pameran.”

“Selain itu, menerusi ITM 2023 TikTok Challenge, kami juga berjaya mendekati generasi muda lantas memperoleh lebih 1 juta tontonan #DiscoverMFAR dan #ExperienceITM2023. Ia adalah salah satu usaha yang kami lakukan untuk mendapatkan penglibatan aktif dari golongan belia,” kongsinya.

Kemuncak acara tersebut menyaksikan penyampaian sijil kepada lebih 10 rakan media dari pelbagai kategori, termasuk televisyen, radio, media cetak serta media online atas liputan dan laporan khas berkaitan BPI 2023.

Sijil penghargaan juga turut diberikan kepada lebih daripada 126 rakan strategik ITM 2023, antaranya Aras Mercu, Serai Group, Exec Travel & Tours, D&D Beauty House Sunway Putra Mall, Mitsui Outlet Park KLIA, Tamu Hotel & Suites, Nasyrul Quran Putrajaya, and Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur.

Majlis pada hari ini turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ITC dan rakan strategik, Malaysian Association of Hotels Training and Education Centre (MAHTEC) untuk memperkukuhkan kerjasama dalam meningkatkan taraf pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

BPI 2023 dianjurkan oleh ITC bermula 21 Ogos hingga 30 September 2023 selama lebih sebulan, padat dengan aktiviti, tawaran pelancongan kepada orang awam, pelancong, pemain industri, dan usahawan, yang menyajikan galeri pengalaman pelancongan Islam yang kaya dan unik tanpa mengira etnik dan agama.

#ITM2023    #IslamicTourismMonth   #ExperienceITM2023    #myITM20231   #IslamicTourismCentre    #MuslimFriendlyMalaysia    #MalaysiaMesraMuslim

– TAMAT –

Mengenai Pusat Pelancongan Islam  (Islamic Tourism Centre / ITC):

ITC merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diberi mandat untuk membentuk segmen Pelancongan Islam untuk Malaysia. ITC mempromosikan Pelancongan Mesra Muslim (MFT) dengan menawarkan kajian pasaran, latihan dan khidmat rundingcara untuk pembangunan industri serta penarafan dan pertukaran maklumat mengenai perkhidmatan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim. 

Malaysia telah mendapat pengiktirafan sebagai negara utama dalam sektor MFTH di rantau ini oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2022. Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi Mesra Muslim utama dalam Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2023, posisi yang dipertahankan sejak indeks tersebut dilancarkan pada tahun 2015. Pada masa sama, Malaysia turut diiktiraf sebagai Destinasi Utama Mesra Muslim (kategori negara OIC) dan Destinasi Utama Mesra Wanita Muslim di Anugerah Pelancongan Halal (Halal in Travel Awards) 2023. 

Selain itu, ITC turut menerima Anugerah Strategic Business Alliance di Anugerah The BrandLaureate World Halal Best Brand E-Branding 2021. Pengiktirafan ini diberi untuk mengangkat usaha berterusan ITC dalam merekabentuk strategi baru untuk memenuhi keperluan norma baharu perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan kemampanan  industri dan kini mandat diberi untuk membina dan mengembangkan segmen pelancongan Islam di Malaysia. 

Pengiktirafan ini menjadi motivasi kepada ITC untuk terus memperkukuhkan usaha mereka untuk menggerakkan dan menjadi institusi terulung di Malaysia dalam merancakkan sektor MFTH. 

Pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi wakil media kami:

Ayu Nordin : +6019 374 6798

Shamsul Bahrin : +6012 347 0245

Email : pr.pinkandgrey@gmail.com

Ikuti ITM di platform media sosial berikut: 

Facebook : IslamicTourismMonth

Instagram : itm_itc

TikTok : itc_my